Hujung bulan, pemilik bisnes kecil biasanya sibuk dengan satu perkara: gaji staf. Kira hari kerja, tolak cuti tanpa gaji, tambah kerja lebih masa, kira caruman, kemudian masukkan ke akaun bank. Selesai satu bulan, ulang lagi bulan depan.
Masalahnya, bila penggajian dibuat secara manual dan tergesa-gesa, kesilapan kecil mudah berlaku. Kesilapan kecil yang berulang setiap bulan akhirnya jadi masalah besar, sama ada dengan staf atau dengan pihak berkuasa.
Ini lima kesilapan penggajian yang paling kerap kami jumpa dalam bisnes kecil.
1. Lewat bayar caruman KWSP, PERKESO dan PCB
Caruman KWSP, PERKESO, SIP dan potongan cukai bulanan (PCB) ada tarikh akhir setiap bulan. Bila tengah sesak duit, ramai pemilik tangguh dulu bayaran ni dan dahulukan perkara lain. Akibatnya bukan sekadar caj lewat. Duit yang dipotong dari gaji staf sebenarnya duit staf, bukan duit syarikat.
2. Kira kerja lebih masa ikut agak-agak
Kerja lebih masa ada kadar tersendiri, dan kadarnya berbeza untuk hari biasa, hari rehat dan cuti umum. Bila kerja lebih masa dikira ikut kadar tetap atau “bagi sikit lebih”, staf yang tahu hak mereka akan mempersoalkannya. Lebih teruk, rekod kerja lebih masa tak disimpan langsung.
3. Tiada slip gaji
Ramai bisnes kecil cuma masukkan gaji ke akaun bank tanpa slip. Staf tak tahu pecahan gaji, potongan dan caruman mereka. Bila ada pertikaian, majikan pula tiada rekod untuk ditunjukkan. Slip gaji yang lengkap melindungi kedua-dua pihak.
4. Rekod kehadiran dan cuti tak selari dengan gaji
Staf ambil cuti tanpa gaji tapi gaji dibayar penuh. Staf kerja hari rehat tapi tak dibayar. Semua ni berlaku bila rekod kehadiran, cuti dan penggajian diurus di tempat yang berasingan dan tak pernah disemak bersama.
5. Semua bergantung pada seorang
Dalam banyak bisnes kecil, hanya pemilik atau seorang kerani yang tahu cara kira gaji. Bila orang tu cuti, sakit atau berhenti, penggajian terus tergendala. Proses penggajian perlu ditulis dan disusun supaya boleh diteruskan oleh orang lain.
KURSUS PENDEK · SEKOLAH BISNESMasih kira gaji secara agakan? Kursus pendek Sekolah Bisnes bagi tahap Gaji, Rekod & Polisi tunjukkan cara mengurus gaji, potongan dan rekod kehadiran ikut Akta Kerja. Lihat kursus Sumber Manusia & Akta Pekerja →
Penggajian yang kemas, staf lebih tenang
Gaji ialah perkara paling sensitif bagi pekerja. Bila gaji dibayar tepat, tepat pada masanya dan dengan rekod yang jelas, staf lebih percaya kepada syarikat. Pemilik pula boleh fokus pada kerja yang membawa duit masuk.
ABS HR Capital membantu bisnes mikro dan PKS mengurus penggajian, rekod pekerja dan pentadbiran sumber manusia harian dengan lebih teratur. Kalau urusan gaji staf tuan dan puan masih dibuat secara manual, hubungi kami untuk bincang cara terbaik menyusunnya.



